Sekinchan: Pernah bekerja sebagai chef di hotel lima bintang dan memperolehi gaji lumayan. Namun semua itu ditinggalkan seorang mualaf untuk mengusahakan sendiri restoran masakan Cina halal di kampung isterinya di Kampung Parit 4, di sini.

Muhammad Danial Ong Abdullah, 62, atau nama asalnya Ong Kim Kooi, mengambil keputusan menetap di kampung isterinya, Martua Kasman, 53, sambil menjaga ibu mentuanya yang mengidap penyakit kencing manis sejak 2011.

Bercerita lanjut, Muhammad Danial yang memeluk agama Islam pada 1998 berkata, keputusan dibuat itu turut membabitkan pekerjaannya diceburi selama 15 tahun.

“Memang berat untuk saya tinggalkan pekerjaan sedia ada. Namun, memandangkan ibu mentua sakit, saya perlu berkorban segalanya dengan menetap terus di kampung pada 2011 untuk menjaganya (ibu mentua) hingga dia meninggal dunia pada 2012, ” katanya tadi.

Muhammad Danial yang berasal dari Kepong, Kuala Lumpur mengakui tidak menyangka kedai makan yang sebelum ini hanya dibuka untuk rakan-rakannya dan isteri kini dikenali penduduk kampung dan orang luar.

“Saya tidak menang tangan selepas menerima puluhan tempahan pelanggan setiap hari.

“Pada awalnya, saya hanya memasak untuk rakan-rakan. Memandangkan mereka tahu saya pakar dalam masakan Cina terutama ‘Cantonese style’, mereka beri galakan dan dorongan sehingga saya mengambil keputusan membuka sendiri kedai makan.

“Malah, lokasi kedai makan ini berada dalam kawasan kampung, namun sudah menjadi rezeki saya sekeluarga. Pelanggan pula bukan sahaja penduduk kampung malah ramai yang datang dari ibu kota Kuala Lumpur.

“Alhamdulillah, setakat ini saya menerima banyak komen positif daripada pelanggan yang kebanyakan menyukai masakan Cina muslim,” kata bapa kepada dua anak berusia 21 dan 18 tahun.

Beliau berkata, antara menu yang disediakan adalah yee mee ‘Cantonese style’, mee sua sup, udang mentega krim dan sotong goreng rangup selain menjual sarapan pagi dan makan tengah hari .

Katanya, yee mee dijual pada harga RM 5, manakala mee sua sup juga RM 5 manakala udang mentega krim pula RM 5 untuk saiz kecil atau RM 10 untuk saiz besar.

“Saya dan isteri mengusahakan kedai makan ini sambil dibantu anak-anak. Biarpun sederhana, saya berpuas hati kerana pelanggan tidak pernah putus datang selain gembira berniaga di sini.

“Tambahan pula, harga makanan yang dijual juga berpatutan. Bagi saya, biar murah asalkan orang ramai dapat rasa dan paling penting, kami menggunakan bahan-bahan segar,” katanya.

Shared from Harian Metro – Tetap popular walaupun restoran di ceruk kampung