Kuih bulan halal kekalkan warisan budaya Cina

24/9/2018 17:52 Update: 24/9/2018 21:23
Oleh: NUR HAZIMAH ANUAR


BERITAmediacorp: Kuih bulan atau mooncake sering menjadi rebutan masyarakat Cina semasa Pesta Bulan yang jatuh hari ini (24 Sep).

Versi halal mendapat sambutan hangat bukan sahaja daripada masyarakat Muslim tetapi juga pembeli bukan Islam.

BERITAmediacorp menemu bual dua pembuat kuih bulan halal yang berkongsi cabaran untuk kekal berdaya saing dalam pasaran yang semakin sengit.

Di Heiraz Bakery, pasti ramai yang akan berasa kagum dengan kepelbagaian perisa kuih bulan bakar dan snowskin mereka.

Syarikat perniagaan yang dimiliki anak Melayu itu sudah mula menjual kuih bulan halal sejak 2016.

Permintaan bagi kuih tradisional Cina yang berisi inti dan perisa itu terus mendapat permintaan tinggi daripada para pelanggan Heiraz.

Aneka kuih bulan snowskin yang dijual Heiraz Bakery. (Gambar-gambar: BERITAmediacorp)

Pada mulanya, golongan sasaran mereka terdiri daripada kalangan mualaf.

Namun, kuih bulan Heiraz kini disajikan di rumah-rumah pelanggannya yang berbilang kaum dan agama.

Menurut pemilik Heiraz Bakery, Cik Roszilah M Nor: “Mereka kata, ‘Wah ada ke orang Melayu buat, mereka ingat kita beli dari Malaysia. Tapi kita yang buat sendiri. Jadi kita kena tunjuk gambar-gambar kita dari Facebook dan Instagram. Bagi menunjukkan ini tempat dapur yang kami hasilkan kuih-kuih bulan kita. Ramai yang terpegun apabila melihatnya.”

Persaingan yang semakin sengit dalam perniagaan kuih bulan halal termasuk dari seberang tambak turut memaksa Cik Roszilah menghasilkan bentuk pembungkusan dan pelbagai perisa yang menarik dan unik.

Beliau berkongsi: “Ada seorang pelanggan yang datang ke gerai saya dan bila dia lihat kita menjual halal mooncake dia gembira. Saya tanya kenapa? Dia kata kerana ia mengingatkannya kepada keluarganya yang selama ini dia sudah lama tidak jumpa.”

Seperti Heiraz, pemilik kedai Mel’s Empire, Cik Sanisah Mohd Arib, juga menitik beratkan citarasa pelanggannya yang berbeza.

Mel’s Empire menawarkan pelbagai macam kuih bulan kepada para pelanggan. 

Cik Sanisah berkata: “Ramai bangsa asing yang serta-merta terpegun dengan perisa-perisa yang berbeza seperti perisa-perisa yang moden itu. Kebanyakan daripada bangsa asing dari golongan muda, mereka sangat berminat dengan perisa-perisa moden seperti oreo creamcheese, seperti ondeh-ondeh. Mereka ingin mencuba sesuatu yang lain.”

BERITAmediacorp turut menemu bual beberapa pelanggan bukan Melayu yang membeli kuih bulan yang halal.

Rata-rata daripada mereka berkongsi bahawa mereka membelinya untuk dikongsi bersama kawan kerja yang berbangsa Melayu. Ada juga yang menggemari rasa kuih bulan tersebut yang menurutnya serupa dengan yang dibuat oleh kaum Cina.

Yang pasti, perayaan kuih tradisi masyarakat Cina ini juga menunjukkan keharmonian dan erti perpaduan dalam masyarakat berbilang kaum di sini. 

Shared from Berita Mediacorp – Kuih Bulan Halal Kekalkan Warisan Cina